City menghuni tangga ketiga pada kempen lalu, dengan 15 mata ketinggalan di belakang juara, Chelsea pada ketika musim pertama kendalian Pep Guardiola, namun Klopp melihat pasukan tersebut telah banyak peningkatan dan sedia memberikan tentangan sengit kali ini.

“Pilihan saya pastinya Manchester City. Mereka bermain dengan sangat baik tahun lepas dan hanya mengalami beberapa masalah,” kata Klopp.

Pada jendela perpindahan kali ini, skuad Citizens membawa masuk Kyle Walker, Benjamin Mnedy, Bernardo Silva, Danilo dan Ederson, namun pengendali kelahiran Jerman itu lebih terarah kepada Gabriel Jesus, yang sedia membuat penampilan penuh bersama kelab itu.

Dalam pada itu, pemain muda Liverpool Ryan Kent menyasarkan untuk membarisi kesebelasan utama Reds setelah ditawarkan kontrak jangka panjang.

Pemain berusia 20 tahun itu, yang masih belum membuat penampilan pertama dalam Liga Perdana Inggeris, beraksi dalam tujuh daripada lapan aksi pra-musim, termasuk perlawanan menentang Bayern Munich dan Atletico Madrid.

Selepas menyerlah ketika dipinjamkan ke Barnsley musim lalu, Kent percaya dia mampu mencetus impak di Anfield kali ini.

“Memberi komitmen kepada Liverpool merupakan satu perkara yang amat besar, jadi sudah tentu saya berharap dipilih menjadi pemain utama. Ini adalah pasukan yang saya impikan untuk bermain sejak saya berusia tujuh tahun.

“Ketika dipinjamkan, saya mengutip pengalaman berharga, terutama musim lalu apabila saya membuat 30 penampilan bersama Barnsley. Saya tidak sabar untuk menunjukkan keupayaan 
saya,” ujarnya. – AGENSI