Berdasarkan senarai nama pemain dipanggil, Kim Swee mengekalkan 17 pemain yang membawa Malaysia mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejohanan B-23 AFC di China pada Januari lalu.

Empat pemain baharu disenaraikan terdiri daripada Syafiq Ahmad, Faisal Abdul Halim, Rodney Celvin Akwensivie dan Khatul Anuar Md. Jalil. Mereka akan memulakan latihan di Wisma FAM bermula 30 Julai ini.

“Saya melihat Baddrol sebagai seorang pemain yang serba boleh dan mampu beraksi di banyak posisi, Aidil pula kepimpinan dan pengalamannya diperlukan bagi mengemudi barisan pertahanan manakala Rizal boleh beraksi di pertahanan kanan dan sayap kanan serta juga merupakan pemain yang berpengalaman.

“Selepas melapor diri di Wisma FAM pada 30 Julai, kami akan ke Changzhou, China pada 2 Ogos bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan China B-23 pada 5 Ogos dan kembali ke tanah air pada 6 Ogos.

“Kemudian kami akan meneruskan kem latihan di Wisma FAM dan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi B-23 di Kuala Lumpur pada 9 Ogos. Jika mengikut jadual asal Sukan Asia 2018, kami akan terbang ke Indonesia pada 12 Ogos sebelum perlawanan pertama yang dijadual pada 14 Ogos.

“Senarai 24 pemain yang saya pilih ini adalah berdasarkan prestasi semasa mereka dalam Liga Super dan Liga Premier, selain penilaian ketika kem latihan skuad B-23 kebangsaan sebelum ini serta prestasi pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kim Swee turut menyenaraikan enam pemain sebagai langkah bersedia jika ada mana-mana pemain yang mengalami kecederaan pada saat akhir.