Khairy Jamaluddin

Itu penjelasan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin terhadap peruntukan yang hanya diterima NFDP sebanyak RM3.5 juta berbanding RM20 juta setahun.

“Ini melibatkan bajet keseluruhan yang dimohon oleh MSN setiap tahun.

“Apabila berlaku kekurangan secara keseluruhan amaun yang diturunkan oleh Kementerian Kewangan maka semua program terbabit termasuk NFDP akan menerima impaknya. Berbeza dengan program-program lain dalam MSN, sekiranya terpaksa dikurangkan, kemungkinan masih boleh diteruskan oleh persatuan sukan masing-masing.

“Tetapi untuk NFDP yang dijalankan sepenuhnya oleh MSN, agak sukar untuk dikurangkan segala inisiatif kerana melibatkan banyak perkara yang berkait seperti kontrak jurulatih, pertandingan liga yang sedang berjalan dan sebagainya,” kata Khairy kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Semalam Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan ke manakah peruntukan tahunan RM20 juta yang dijanjikan pentadbiran terdahulu kepada NFDP yang kemudiannya cuma mendapat RM3.5 juta.

Katanya, program itu turut hanya diperuntukkan RM10 juta ketika tahun penubuhannya pada 2014 dan kian berkurangan kepada RM3.5 juta pada tahun-tahun berikutnya, dengan 80 peratus pembayaran gaji mulanya ditanggung oleh sebuah syarikat swasta.