Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berkata, proses timbang tara terhadap penyerang kebangsaan itu telah dimulakan sejak 18 Januari lalu setelah pelbagai saluran lain tidak menampakkan sebarang penyelesaian.

"Isu-isu pengurusan kes masih dijalankan dan kami tidak boleh memberi sebarang maklumat lanjut berhubung kes timbang tara itu yang sedang berjalan kerana ia hanya terbuka kepada pihak yang terlibat setakat ini.

"Apa yang penting, KFA masih lagi meneruskan proses untuk menegakkan kebenaran melalui proses timbang tara yang sedang dijalankan. Kami akan sentiasa profesional demi kemajuan dan perkembangan sukan bola sepak tanah air," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat pada Disember tahun lalu memutuskan Muhamad Akhyar yang kini beraksi bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dibenarkan menebus kontraknya bersama skuad Lang Merah tahun lalu.

Ia susulan pemain berusia 20 tahun itu membawa kesnya ke FAM selepas gagal mencapai persetujuan bersama KFA berhubung kontraknya yang masih berbaki setahun.

Tambah Asmirul, semua pihak perlu menghormati prosedur yang telah ditetapkan dan tidak membuat andaian atau tanggapan yang tidak berasas tentang hala tuju kes itu.

"Kami berharap semua pihak bersabar dan menantikan keputusan proses timbang tara yang kini dijalankan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asian (AIAC), Kuala Lumpur," ujarnya.

Mengulas lanjut, ujar beliau, pihaknya memulakan proses timbang tara tersebut di peringkat domestik terlebih dahulu setelah mendapat nasihat yang komprehensif, menyeluruh dan mendalam daripada peguam yang dilantik.

"Memang sebelum ini KFA menyuarakan hasrat untuk membawa kes Akhyar ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland kerana tidak mendapat gambaran jelas mengenai kewujuduan tribunal timbang tara tersebut (AIAC).

"Tetapi, setelah mendapat khidmat dan nasihat peguam yang melakukan kajian mendalam ke atas semua undang-undang dan peraturan dalam sukan bola sepak profesional, kami akur dan menerima pendapat peguam untuk memulakan proses timbang tara domestik terlebih dahulu," katanya. - UTUSAN ONLINE