Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri boleh mengaturkan pertemuan antara pasukan itu dengan mana-mana penaja berpotensi di samping mengusahakan surat sokongan bagi memudahkan urusan tersebut.

Katanya, kerajaan negeri menghargai pencapaian TCFC dalam arena bola sepak negara yang secara tidak langsung telah mengharumkan nama Terengganu apabila muncul juara Piala FAM musim lalu bagaimanapun, keadaan kewangan yang terhad menyukarkan usaha membantu pasukan yang dirintis pihak swasta itu.

"Kerajaan negeri ada 'anak' (pasukan bola sepak) yang perlu dijaga dan didahulukan, yang juga memberi implikasi kewangan agak besar dalam lain-lain acara sukan di negeri Terengganu.

"Jadi agak sukar untuk kita bantu dari segi sumber kewangan tetapi untuk beri sokongan mereka dapatkan penajaan dan sebagainya kita boleh (bantu), termasuk mempertemu dan usahakan surat sokongan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) di pejabatnya di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Isu tunggakan gaji bekas pemain dan jurulatih TCFC yang berlarutan sejak setahun lalu dikatakan hampir selesai apabila pengurusan baharu kelab bersedia membayarnya selepas pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu ini. - UTUSAN ONLINE