Penolong jurulatih pasukan UKM FC, Muhammad Juzaili Samion berkata kemenangan itu menjadi motivasi untuk pasukan berkenaan terus memburu kemenangan dalam baki tiga perlawanan, sekali gus mencerahkan peluang mereka mengulangi pencapaian mara ke final Piala Cabaran yang diraih pada musim lepas.

“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah kerana kita berjaya meraih mata penuh pada perlawanan ini. Pada mulanya, kita pun tak jangka akan dapat jaringan sebanyak ini.

“Perancangan kita untuk perlawanan ini menjadi. Sasaran ke final itu agak tinggi bagi kita, tapi kita akan fokus satu perlawanan demi satu perlawanan selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Muhammad Juzaili dan barisan kejurulatihan UKM FC mengambil alih sementara tugas Ketua jurulatih, Sulaiman Hussin yang kini sedang mengikuti Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2019-2020 di Petaling Jaya.

Dalam pada itu, pengendali sementara Kuala Lumpur, Roslee Md Derus mengakui keghairahan barisan penyerang Kuala Lumpur memburu jaringan pada perlawanan berkenaan jelas memberi peluang kepada pasukan lawan untuk meraih jaringan menerusi serangan balas yang pantas.

Beliau bagaimanapun enggan mengangkat ‘bendera putih’ dan yakin skuad ‘The Hawks’ mampu memberikan saingan dalam baki tiga perlawanan Piala Cabaran untuk memburu tiket ke final.

“Kita akan terus mencuba pada baki tiga perlawanan, walaupun kita ada masalah dari segi pemain yang berdepan penggantungan, kecederaan dan sebagainya,” jelas bekas pemain kebangsaan itu.

Dalam aksi di Cheras, UKM FC meraih jaringan menerusi pemain import dari Croatia, Mateo Roskam pada minit ke-35, Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman (minit ke-64), dan Syed Sobri Syed Mohamad (minit ke-90).

Keputusan perlawanan berkenaan menyaksikan UKM FC kekal menerajui carta Kumpulan B dengan kutipan tujuh mata manakala Kuala Lumpur berada di tangga ketiga daripada empat pasukan, dengan kutipan tiga mata selepas tiga perlawanan. - BERNAMA