Skuad Three Lions sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Birmingham beberapa jam selepas aksi Liga Negara-Negara Eropah di Seville kerana ia adalah lokasi terbaik untuk memastikan semua pemain dapat tiba di rumah masing-masing secepat mungkin bagi menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris yang sangat padat, hujung minggu ini.

Bagaimanapun akhbar Britain, Daily Mail melaporkan, juruterbang memberitahu pasukan bahawa cuaca buruk serta kabus tebal di kawasan tengah England tidak membolehkan mereka mendarat di Birmingham.

Pada saat akhir, penerbangan diubah ke Lapangan Terbang Manchester, yang mana pesawat akhirnya mendarat dengan selamat.

Perubahan saat akhir itu merupakan ‘bonus’ buat dua bintang England yang berpangkalan di Manchester - Marcus Rashford (Manchester United) dan Raheem Sterling (Manchester City), namun memberi masalah kepada sebahagian besar pemain lain, terutama yang tinggal di selatan.

Persatuan Bola Sepak (FA) England terpaksa menyediakan pelbagai jenis pengangkutan buat pemain, dari kereta hingga kepada feri untuk membolehkan mereka tiba di rumah masing-masing secepat mungkin.

Pemain Tottenham yang paling ramai membarisi skuad England - Harry Kane, Harry Winks dan Kieran Trippier, semuanya terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 200 batu untuk kembali ke Utara London.

Bintang tengah Chelsea, Ross Barkley dan penjaga gol Fulham, Marcus Bettinelli pula terpaksa berdepan kesesakan teruk untuk tiba di Barat Selatan London.

Pemain paling malang adalah pendatang baharu, Lewis Dunk yang terpaksa mengharungi perjalanan amat jauh iaitu 260 batu dari Manchester ke Brighton. - AGENSI