Bekas bintang Tottenham itu dijadikan kambing hitam dan mangsa penghinaan di Santiago Bernebue selepas tewas dalam aksi Clasico kepada Barcelona.

Manchester United, Chelsea dan Tottenham dikatakan mahu mendapatkan Bale sejak beberapa bulan lalu dan kemarahan ejennya, Jonathan Barnett mencerahkan peluang untuk menyaksikan perpindahan itu berlaku pada musim panas ini.

“Penyokong Real ketika ini bercakap mengenai jaringan Gareth pada masa akan datang dan mereka seharusnya malu dengan diri sendiri. Gareth selayaknya diberikan penghormatan tertinggi tetapi penyokong Real ketika ini sangat memalukan.

“Sepanjang enam tahun di Sepanyol, dia sudah menang segalanya. Dia antara pemain terbaik dunia dan penyokong di sini selayaknya mencium kaki Gareth,” katanya.

Bale menjadi tumpuan ejekan penyokong sendiri sewaktu dia dikeluarkan selepas sejam permainan ketika menentang Barcelona.

Penyokong Real menjadikannya sebagai mangsa ejekan, manakala, akhbar Sepanyol melaporkan bahawa kelab itu mahu melepaskannya bagi membuka laluan kepada bintang PSG, Neymar.

Bale yang berusia 29 tahun menjaringkan gol luar biasa dalam aksi final Liga Juara-Juara, musim lalu, tetapi penyokong Real tidak pernah menghargai jasanya selama ini.

Dia yang menerima gaji 600,000 pound (RM3.22 juta), sudah menjulang empat trofi Liga Juara-Juara, tetapi, hubungannya bersama penyokong tidak pernah baik dan pertahanan Real, Marcelo memberitahu, bahawa Bale tidak faham bahasa Sepanyol dan hanya berkomunikasi menggunakan bahasa badan. - AGENSI