Mengakui kekalahan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak bagaimanapun mahu anak-anak buahnya melupakan keputusan itu dan terus memandang ke hadapan.

Ujar pengendali dari Singapura itu, keletihan beraksi dalam pentas akhir Piala FA, baru-baru ini dan berkunjung ke Seremban, Sabtu lalu bukan alasan untuk pemain kerana kedua-dua kemenangan itu sepatutnya memberikan motivasi kepada mereka.

“Ya, keputusan ini memang sukar diterima, apatah lagi bermain di tempat sendiri dengan lawan kekurangan seorang pemain dan kita kalah.

“Banyak peluang terhidang dan pemain juga sebenarnya memberikan 100 peratus komitmen mereka, cuma saya tidak pasti apa faktor sentuhan terakhir kita kurang menjadi dan kena perbaiki perkara itu jika mahu terus maju ke depan,” katanya di sini hari ini.

Penyerang import skuad Penyu, Tchetche Hermann Brice mencetak nama selaku penjaring gol pertama dan kedua perlawanan itu walaupun TFC beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol mereka, Muhamad Ilham Amirullah Razali dibuang padang pada penghujung babak pertama.

Sementara itu, Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain menyifatkan disiplin, fokus, komitmen dan permainan berkualiti yang ditonjolkan para pemainnya membolehkan mereka membawa pulang tiga mata dari Alor Setar.

“Saya tahu main di Darul Aman bukan mudah kerana rekod Kedah di tempat sendiri memang lebih baik, tetapi saya beritahu pemain agar yakin dengan apa yang kita ada dan jangan rasa takut.

“Saya juga beritahu mereka pada masa rehat, 10 pemain memberi lebih kelebihan kepada kita kerana pemain perlu berusaha berbanding 11 orang, perlu tolong satu sama lain dan meningkatkan semangat berpasukan untuj bekerjasama,” katanya.

Bekas pemain Kedah yang pernah melalui zaman ‘double treble’ itu turut gembira dengan jaringan pertama yang dihasilkan Tchetche pada perlawanan itu yang sekali gus memberikan motivasi kepada pemain lain.

Malah, Nafuzi yakin pemain Ivory Coast itu mampu menghasilkan lebih banyak gol kepada sang Penyu selepas ini berdasarkan ketajaman yang dipamerkannya dalam aksi menentang Kedah. -UTUSAN ONLINE