B. SATHIANATHAN dijulang oleh pemain Felda United ketika meraikan kejayaan menewaskan Sarawak 3-1 sekali gus muncul juara Liga Perdana di Kuching kelmarin. UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

Felda United sepatutnya ber­aksi dalam Liga Super pada musim ini tetapi kegagalan mendapatkan lesen kelab telah menyebabkan mereka diturunkan ke Liga Perdana.

“Kami sudah melakukan pe­rancangan untuk beraksi dalam Liga Super musim ini namun di­sebabkan tidak mendapat lesen kelab FAM kami terpaksa beraksi dalam Liga Super pada musim depan. Ramai yang hampa se­perti pemain dan saya sendiri.

“Apabila beraksi dalam Liga Perdana, peruntukan pasukan pun dikurangkan dan peranca­ngan saya untuk mencari pemain tidak dapat diteruskan. Walau bagaimanapun, sema­ngat pemain tempatan tinggi apabila mereka menyambung kontrak meskipun gaji ditawarkan tidak besar dan ada tawaran daripada kelab lain.

“Ini semua titik peluh pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan. Saya yakin dan dapat mengesyorkan bahawa pengurusan Felda United sudah menepati segala keperluan yang diperlukan untuk mendapatkan lesen kelab FAM. Sudah pasti pengurusan akan belajar daripada kesilapan mereka sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas mengenai baki persaingan Liga Perdana yang hanya tinggal dua perlawanan sahaja lagi, bekas jurulatih kebangsaan itu berkata dia tidak akan mengambil mudah selain mahu mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan Piala Malaysia yang bakal bermula pada 4 Ogos ini.