Dengan dibarisi pemain generasi baharu berbakat yang diterajui oleh penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane telah memberikan harapan bahawa England mampu mengulangi kejayaan 50 tahun lalu apabila mereka menjulang Piala Dunia 1966 selepas mempamerkan aksi memberangsangkan di Perancis.

Bagaimanapun setelah menamatkan kempen Kumpulan B di tempat kedua di belakang Wales selain disingkirkan oleh negara yang hanya memiliki 330,000 penduduk di pusingan 16 pasukan terakhir, England kini telah melebarkan rekod kegagalan mereka beraksi dalam peringkat separuh akhir kejohanan utama selama 20 tahun.

Kegagalan tersebut telah membuatkan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) dan pasukan dihujani kritikan peminat setia skuad Three Lions.

“Masalah ini berpanjangan sebaik sahaja kejohanan yang disertai tamat, England kelihatan rapuh. Kami perlu memahami mengapa perkara ini berlaku,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FA, Martin Glenn.

Dalam pada itu, Glenn kini sedang melakukan pencarian pengurus baharu selepas Roy Hodgson mengumumkan melepaskan jawatan serta-merta sebaik sahaja England tewas 1-2 kepada Iceland di Stadium Nice.

Glenn memberi bayangan bahawa jawatan tersebut akan ditawarkan kepada pengendali sementara skuad bawah 21 England, Gareth Southgate namun terdapat laporan mengatakan bekas pengurus Middlesbrough itu tidak berminat.

Antara nama lain yang disebut termasuk bos Bournemouth, Eddie Howe yang berusia 38 tahun dan merupakan salah seorang jurulatih muda yang sedang meningkat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selain itu, bekas pengendali England, Glenn Hoddle; pengurus Sunderland, Sam Allardyce, jurulatih Amerika Syarikat (AS), Jurgen Klinsmann; bekas pengurus sementara Chelsea, Guus Hiddink serta Arsene Wenger yang bakal tamat kontraknya bersama Arsenal pada tahun depan antara individu dalam radar FA.

Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher berkata sistem akademi kelab EPL dan bayaran gaji lumayan telah menghasilkan generasi pemain yang ‘terlalu lembut.’

Dengan Hodgson telah membentuk skuad paling muda untuk England sejak Piala Dunia 1958 menjadikan penggantinya memiliki banyak ‘permata mentah’ untuk digilap.

Tetapi prestasi beberapa pemain senior yang akan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia nanti menimbulkan kesangsian.

Penjaga gol Joe Hart membuat kesilapan yang menyebabkan dia dibolosi dua gol, termasuk jaringan pemain Iceland, Kolbeinn Sigthorsson yang menamatkan kempen England di Perancis.

Namun, peranan Wayne Rooney yang nampaknya paling terancam. 
– AFP