Sebaik sahaja wisel perlawanan ditiup, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan PKNS terlebih dahulu menguji penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim menerusi beberapa percubaan diketuai penyerang mereka, Gabriel Guerra pada minit ke-7.

Kedah yang kembali menguasai permainan cuba menyerang kubu lawan, namun cubaan luar kotak penalti oleh Fernando Rodriguez pada minit ke-24 berjaya ditepis Zarif Irfan Hashimuddin.

Berbaki sepuluh minit sebelum separuh masa pertama berakhir, Baddrol Bakhtiar hampir meletakkan Helang Merah di hadapan menerusi sepakan percumanya yang terus ke dakapan penjaga gol.

Bersambung aksi babak kedua, Kedah terus melancarkan serangan ke arah gawang PKNS, namun sepakan rendah Jonanthan Bauman pada minit ke-47 tidak berhasil.

Pada minit ke-63, Rodriguez hampir menceriakan penyokong tuan rumah, namun tolakan kaki kanannya hanya mengena tiang gol di sebelah kanan Zarif Irfan.

Usaha Kedah untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol pada minit-minit terakhir terus pudar apabila mereka terpaksa bermain dengan sepuluh orang setelah Renan Alves dilayangkan kad merah kerana mengasari Faizat Ghazali pada minit ke-86.

Kedudukan seri 0-0 kekal sehingga tiupan akhir wisel yang memaksa Kedah hanya berpuas hati dengan meraih satu mata. - UTUSAN ONLINE