Keyakinan itu disuarakan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas menyediakan pasukan yang cukup padu dengan barisan pemain terbaik musim ini.

Katanya, meskipun bakal menghadapi cabaran sukar daripada pasukan-pasukan hebat saingan tersebut, namun pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai selain berharap para pemain terus konsisten dalam setiap perlawanan.

“Untuk tujuan itu, kita sentiasa memupuk suasana harmoni dalam pasukan dengan tidak meminggirkan mana-mana pihak. Insya- Allah dengan semangat juang yang tinggi, kita mampu mencapai kejayaan,” katanya yang juga Menteri Besar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran jersi rasmi pasukan negeri itu dan memperkenalkan barisan penaja KFA musim 2019 di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris; wakil-wakil penaja dan lebih 1,000 penyokong.

Sementara itu, Mukhriz berkata, bagi menghargai sokongan peminat setia Helang Merah, pihaknya turut mengumumkan bahawa tiada pemain yang akan memakai jersi bernombor 12 kerana ia dikhaskan kepada para penyokong yang selama ini sentiasa kekal bersama pasukan.

“Terima kasih kepada semua pihak kerana terus memberi sokongan padu kepada Kedah iaitu pasukan kebanggaan kita yang akan membawa cabaran pada musim ini.

“Kita menyimpan harapan agar Kedah bangkit dengan penuh bergaya dan muncul sebagai pasukan mantap dengan mencipta kejayaan demi kejayaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE