Bagaimanapun, pada edisi sulung penganjuran yang melambangkan perpaduan antara kedua-dua badan induk bola sepak negeri itu, pertahanan Lang Merah terlebih dahulu diuji pada awal babak permainan selepas diasak jentera serangan Perak.

Percubaan dari luar kotak penalti oleh pemain import Perak, Leandro Dos Santos Oliveira pada minit kelapan nyaris meletakkan Bos Gaurus di hadapan namun tendangan itu hanya melewati palang.

Kedah kembali menyeimbangkan permainan pada minit ke-32 apabila pemain importnya, Jonathan Bauman hampir meletakkan Lang Merah di depan setelah menyambar sepakan percuma Baddrol Bakhtiar dari tepi.

Namun, kedua-dua pasukan buntu untuk mencipta jaringan sehingga menyaksikan 45 minit pertama berakhir tanpa gol.

Bersambung babak kedua perlawanan, jentera serangan Kedah mula menampakkan ketajaman dalam serangan bertali arus sehingga memaksa kubu pertahanan Perak bekerja keras.

Hasilnya, penyerang import mereka, Fernando Rodriguez Ortega berjaya meletakkan Kedah di hadapan pada minit ke-67 apabila bijak memanfaatkan sepakan percuma pantas yang diambil Baddrol.

Berselang sembilan minit kemudian, Stadium Darul Aman yang dibanjiri 25,000 penonton kembali gamat apabila pemain gantian, Syahrul Azwari Ibrahim menanduk masuk hantaran lintang Rizal Ghazali pada minit ke-76.

Hasrat Perak untuk merapatkan kedudukan tidak berhasil apabila ketangkasan penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim menafikan beberapa peluang yang terhidang di dalam kotak penalti.

Dalam perlawanan itu, Kedah menurunkan kelima-lima pemain importnya di kesemua posisi selain jentera serangan Lang Merah turut dibantu Kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd. Razak yang menyertai skuad itu pada musim ini.

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), selain turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA). - UTUSAN ONLINE