Kean, 19, meledakkan gol keempatnya pada minit ke-85 bagi menjamin kemenangan selepas pemain pertahanan Leonardo Bonucci membuka tirai jaringan pada minit ke-22 pada pertemuan di Sardinia itu.

Bagaimanapun, ketika pemain muda itu meraikan jaringannya, segelintir penyokong di Sardinia mengejeknya susulan kad kuning yang diterima pada babak pertama angkara menjatuhkan diri dengan sengaja.

Sepanjang perlawanan itu juga, Kean, bersama rakan dari Perancis, Blaise Matuidi dan pemain Brazil, Alex Sandro menjadi sasaran ejekan seperti suara monyet dan ia menjadi semakin kuat selepas jaringan kedua berkenaan.

Kean meraikan jaringannya dengan mendepangkan tangannya di hadapan penyokong Cagliari.

Namun, Bonucci berkata Kean tidak perlu melakukan provokasi ke atas penyokong tuan rumah itu dan mengakui bahawa Kean seharusnya menyalahkan diri sendiri atas insiden jelik itu.

“Kean tahu dia sepatutnya meraikan gol itu bersama rakan. Dia juga tahu kesan akibat melakukan perkara yang berbeza.

“Ada ejekan berbaur perkauman selepas gol itu, Blaise jadi marah mendengarnya. Saya rasa kesalahan 50-50, kerana Moise tidak perlu melakukannya dan Curva (penyokong Cagliari) juga tidak wajar membalasnya dengan cara berkenaan.

“Kami semua professional, kami sepatutnya menjadi contoh dan bukannya melakukan provokasi ke atas sesiapa,” kata Bonucci kepada Sky Sport Italia.

Penyokong Cagliari juga dilihat melontar objek ke arah Kean, menyebabkan pengadil terpaksa menghentikan perlawanan buat beberapa ketika dan terpaksa diredakan menggunakan pembesar suara stadium manakala Matuidi memberi reaksi ke atas penyokong tuan rumah.

Ejekan berbaur perkauman itu muncul sehari selepas Presiden UEFA, Aleksander Ceferin mengarahkan pengadil menghentikan perlawanan pada masa depan jika ejekan seumpama itu dilaungkan penonton di stadium.

“Macam biasa, masih terdapat segelintir yang tidak normal tetapi ada juga manusia yang normal. Kita ada kamera, kenali mereka dan haramkan mereka,”kata pengendali Juventus, Massimiliano Allegri.– AFP