Kean, 19, mencatat sejarah sebagai penjaring kedua termuda Itali selepas menja­ringkan gol pada minit ke-74 hanya pada penampilan sulung dalam ke­sebelasan utama.

Terdahulu, Itali membuka ja­ringan di Stadium Friuli menerusi seorang lagi bintang muda, Nicolo Barella, 22, seawal minit ketujuh.

“Saya banyak belajar daripada Cristiano Ronaldo ketika sesi latihan. Saya mencuri rahsia-rahsia dia.

“Saya berlatih dengan gigih bagi memastikan saya amat bersedia apabila dipanggil (me­nyarung jersi kebangsaan) pada bila-bila masa.

“Jadi, sebaik sahaja mendapat panggilan, saya memang sudah cukup bersedia.

“Kami mengharungi hari yang indah tetapi saya tahu, rekod ini hanya permulaan kerana saya mahu memecah banyak lagi rekod selepas ini.

“Selepas menerima panggilan, saya sangat bersemangat dan tidak sabar hendak me­nunjukkan kepada semua orang apa yang mampu saya lakukan.

“Ciro (Immobile) mencipta gerakan cantik kepada saya, terima kasih kepadanya dan begitu juga seluruh pasukan,” kata Kean.

Jurulatih Itali, Roberto Mancini memilih Kean untuk menggantikan Federico Chiesa yang mengalami kecederaan.

Kean, lahir pada 28 Februari 2000 turut dipilih oleh Mancini ketika menentang Amerika Syarikat (AS) dalam aksi persahabatan, November lalu tetapi hanya bertindak sebagai pemain gantian pada babak kedua.

Jaringannya menentang Finland membolehkan dia menjadi pemain kedua Itali menjaringkan gol untuk skuad senior selepas bekas pemain Juventus, Bruno Nicole melakukannya ketika menentang Perancis sewaktu berusia 18 tahun dan 258 hari. – AFP