“Masih terngiang apabila kami berdiri bergandingan mendengar lagu kebangsaan selepas itu. Semangat setiakawan kami padu,” kata benteng Jerman Barat, Jupp Posipal selepas kemenangan bersejarah 3-2 terhadap Hungary ‘si handalan’ perlawanan akhir itu.

Hujan minit awal menyaksikan pasukan Sepp Herberger tampak akan dibelasah pasukan terbaik dunia. Enam minit berlalu, Ferenc Puskas meletakkan Hungary di hadapan dengan jaringan jarak jauh.

Zsoltan Czibor pula menyambar kesempatan dek kekeliruan penjaga gol Jerman, Toni Turek dan rakannya, Werner Kohlmeyer untuk menambah gol, dua minit kemudian.

Namun semangat Jerman Barat tetap utuh seperti diungkap Walter dalam biografinya beberapa tahun kemudian: “Terkejut, kami memerhati sekitar sesama sendiri tetapi tiada yang mengutuk Kohli atau Toni. Dapat sahaja bola untuk memulakan balik, Morlock mengembalikan semangat kami.

“Tidak mengapa”, tangisnya. Ottmar (Walter) yang tidak pernah berputus asa, membisik kepada saya: “Fritz, teruskan bermain, kita masih mampu lakukannya.”

Tidak lama kemudian, Jerman membalas. Rahn membuka laluan di sebelah kiri. Rembatannya terbias Boszik tetapi Morlock memanjangkan langkah menjulurkan bola melepasi penjaga gol Hungary, Grosics. Kedudukannya 2-1 dengan baki 80 minit.

Keyakinan Jerman Barat semakin melimpah apabila sepakan sudut Walter melayang melepasi seluruh benteng Hungary untuk Rahn menyudahkannya dengan gol penyamaan.

Minit ke-84, sesuatu luar biasa berlaku. Schafer yang mengutip bola yang terlepas daripada Boszik, sayap kanan, melintangkan ke tengah dan ditanduk tetapi dihalang, memaksa Rahn merembat dari jauh untuk membawa Jerman 3-2.

Hungary cuba bangkit dan beberapa saat kemudian, bola di gawang Jerman Barat namun pengadil England, William Ling menafikan jaringan Puskas kerana ofsaid.

Wira-wira telah lahir sepanjang 90 minit peristiwa ‘Keajaiban Bern’ atau Das Wunder von Bern itu yang turut menghasilkan satu daripada babak paling mengejutkan dalam sejarah Piala Dunia.

Ungkapan terkenal jurulatih Herberger seperti ‘bola itu bulat’ dan ‘permainan berlangsung selama 90 minit’ bertahan lama dalam kenangan itu.

Namun sama ada dia betul-betul mencipta ungkapan itu atau seperti khabar angin mengatakan, dia mengambil ayat legenda itu daripada seorang tukang cuci di kem latihan skuadnya, masih menjadi rahsia.

Hakikatnya kemampuan Jerman mara ke perlawanan akhir itu cukup hebat. Pasukan Herberger hanya bermain perlawanan antarabangsa pertama pascaperang empat tahun sebelumnya apabila mereka layak ke pusingan akhir.

Empat kemenangan terhadap Turki (4-1 dan 7-2), Yugoslavia (2-0) dan Austria (6-1) dan kekalahan besar yang diramalkan dibelasah Hungary 8-3 pada peringkat kumpulan, mencukupi untuk melihat Jerman ke perlawanan akhir.

Kisahnya berbeza dengan juara Olimpik 1952, Hungary yang tiba di Switzerland dengan penuh yakin kerana tidak pernah kalah sekali pun sejak 14 Mei 1950.

Laluan Magical Magyars ke perlawanan akhir termasuk kemenangan besar peringkat kumpulan terhadap Turki 7-0 dan pastinya Jerman di samping Brazil 4-2 (suku akhir) dan Uruguay 4-2 (selepas masa tambahan separuh akhir).

Kejayaan sulung ‘Pasukan Emas’ itu disambut dengan setem pos yang dicetak khas tanda penghargaan mereka yang menafikan ramalan bahawa Hungary yang akan meraih Piala Dunia pertamanya.