Jurulatih Kashima, Go Oiwa menjangkakan perlawanan keempat bagi Kumpulan E itu menjanjikan pertembungan yang sengit kerana pasukan di tangga tercorot tersebut memburu kemenangan pertama bagi menghidupkan sisa peluang mengintai kedudukan kedua terbaik dalam kumpulan.

Beliau akan menurunkan kesebelasan utama yang berbeza ketika menundukkan Harimau Selatan 2-1 di Jepun pada Mac lalu dalam misi memburu tiga mata berharga.

"Ini adalah perlawanan getir buat kami untuk memburu kemenangan. Bagaimanapun, ia bukanlah tugas yang mudah kerana JDT mempamerkan corak permainan pantas dan barisan defensif mereka cukup teratur serta sukar dirobekkan.

"Apa-apapun, kami sudah membuat persiapan rapi dan akan pastikan untuk mendominasi permainan pada perlawanan esok. Para pemain juga sudah bersedia sepenuhnya berdepan segala kemungkinan dalam misi membawa pulang tiga mata ke Jepun," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, pemain Kashima, Koki Anzai menyifatkan faktor cuaca serta keadaan padang bakal merencatkan aksi sebenar mereka kerana memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan faktor sekeliling.

"Ini adalah satu pengalaman berbeza buat kami kerana tidak membiasakan diri bermain dalam keadaan cuaca yang panas seperti di sini. Keadaan padang juga berbeza dan ia sedikit mengganggu kelancaran corak permainan.

"Bagaimanapun, kami akan bermain seperti biasa dan yang penting sekali ialah sentiasa memberi tumpuan penuh sepanjang 90 minit permainan pada perlawanan esok," katanya. - UTUSAN ONLINE