Apa yang menyedihkan, sepanjang tempoh itu, mereka mendakwa terpaksa meneruskan hidup bekerja sebagai nelayan, buruh kasar, cuci kereta dan berniaga kecil-kecilan. Ke­semua mereka berusia 26 hingga 30 tahun itu sepatutnya menerima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan.

Ia berdasarkan kontrak yang ditandatangani mereka berkuatkuasa 1 Disember lalu. Malam tadi, kesabaran mereka sampai ke penghujungnya apabila tampil mengadakan sidang akhbar bagi menuntut penjelasan pihak pengurusan dan hak mereka, meskipun menyedari risiko yang bakal dihadapi.

Seramai 11 orang daripada mereka hadir, manakala bakinya berada di luar negeri ini. Berdasarkan kontrak, tunggakan itu akan dibayar bersama gaji pada 7 Januari lalu secara berperingkat.

Wakil kumpulan pemain itu, Fahmi Izzarin Mustafa, 24, berkata, kesemua mereka sebelum ini telah menandatangani kontrak mewakili Perlis Northern Lions 2 berkuat kuasa 1 Disember lalu.

“Situasi itu yang menyebabkan para pemain kini dalam dilema kerana tidak boleh beraksi dengan pasukan lain, manakala untuk terus kekal dalam pasukan pula, gaji tidak dibayar. Lebih menyedihkan, terdapat pasukan lain yang dikatakan sudah menggantikan kami untuk mewakili Perlis Northern Lions 2,” katanya ketika ditemui, semalam.

Perlis Northern Lions 2 pada musim lalu beraksi dalam Liga FAM, namun, pasukan itu berjaya dinaikkan ke Liga Perdana bagi musim 2019 dan akan menggunakan gelaran Singa Utara dengan barisan pemain berpengalaman seperti penyerang Safee Sali dibawa masuk menyertai pasukan tersebut.

Fahmi Izzarin memberitahu, para pemain dikehendaki menjalani latihan di ibu negara bermula 2 Januari lalu.
 Katanya, mereka bagaimanapun, tidak dapat hadir kerana ketiadaan wang untuk menampung kos perjalanan dan penginapan.

“Pihak pengurusan tidak menyediakan pengangkutan dan penginapan, minta pendahuluanpun tidak dilayan, jadi, bagaimana kami hendak turun berlatih,” katanya.

Kata Fahmi Izzarin, pemain sudah banyak kali merujuk perkara itu kepada pihak atasan PFA, tetapi Presiden, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menyatakan ia akan diselesaikan pengurusan.