Anak jati Liverpool itu menegaskan, Reds mempamer aksi kelas dunia sepanjang kempen kejohanan, dan membuktikan mereka boleh mengalahkan sesiapa sahaja.

"Sukar untuk gambarkan dengan kata-kata apa yang baru sahaja berlaku. Selepas melihat apa yang kami harungi sepanjang musim ini, kami paling berhak bergelar juara berbanding mana-mana pasukan.

"Saya hanyalah orang biasa dari Liverpool yang menyaksikan impiannya telah menjadi kenyataan," kata bek kanan berusia 20 tahun itu.

Bagi Mohamed Salah, pasukannya mungkin tidak menunjukkan prestasi terbaik hari ini, namun ia tidak penting kerana peminat hanya akan mengenang siapa muncul juara dan bukan bagaimana mereka beraksi.

"Semua orang amat gembira sekarang. Saya gembira dapat beraksi dalam final buat kali kedua, dan kali ini saya akhirnya bermain selama 90 minit.

"Mungkin tiada siapa di antara kami menunjukkan persembahan yang baik secara individu tetapi itu tidak penting lagi," kata Salah.

Bagi Divock Origi, tiada apa yang lebih menggembirakan daripada dapat menjadi sebahagian sejarah kelab.

"Kami berjaya melakukannya. Saya gembira kerana telah memainkan peranan tetapi semua pemain bekerja keras hari ini," kata penyerang Belgium itu.

Sepakan penalti Salah seawal minit kedua, selain rembatan Origi, tiga minit sebelum tamat perlawanan membantu Reds mengalahkan Tottenham 2-0 di Stadium Wanda Metropolitano.

Ini adalah kejuaraan keenam Liverpool selepas 2005, 1984, 1981, 1978 dan 1977. - AGENSI