Tandukan Alex Sandro pada minit ke-37 dan gol sendiri pertahanan Fiorentina, German Pezzella selepas tertampan hantaran lintang Cristiano Ronaldo pada minit ke-53 cukup buat Juventus merangkul kejuaraan ke-35 Scudetto.

Dalam aksi itu, pertahanan Serbia, Nikola Milenkovic terlebih dahulu meletakkan Fiorentina di depan seawal minit keenam.

Kehadiran pemenang Ballon d’Or lima kali, Juventus jelas menguasai pentas liga musim ini apabila berada di puncak dengan 87 mata iaitu kelebihan 20 mata mengatasi pencabar terdekat, Napoli dengan berbaki lima perlawanan.

Anak-anak buah Massimiliano Allegri meraih 28 kemenangan, tiga seri dan hanya kalah dua perlawanan iaitu di tangan Genoa dan SPAL.

Gelaran kali kelapan berturut-turut yang dimenangi Juventus turut mengatasi rekod kelab Perancis, Lyon dalam kancah bola sepak di Eropah.

Juventus turut menyamai rekod kelab Torino pada 1948, Fiorentina (1956) dan Inter Milan (2007) yang masing-masing menjuarai Serie A dengan aksi liga masih berbaki lima perlawanan.

Bagaimanapun, malang buat anak buah Allegri apabila mereka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara ketika hanya memerlukan hanya satu gol untuk mara ke separuh akhir apabila tewas di tangan Ajax, Selasa lalu.

Juventus dibelenggu masalah kecederaan yang menimpa pemain pertahanan veterannya, Giorgio Chiellini bersama Sami Khedira, Mario Mandzukic, Paulo Dybala dan Douglas Costa.-AGENSI