Gelaran Serie A mungkin boleh disahkan pada Isnin minggu depan apabila Juventus dan Napoli bertembung di Turin.

Bagaimanapun, Juventus perlu memastikan kemenangan di Crotone, Khamis ini dan Napoli pula tumpas di laman sendiri menentang Udinese, sebelum kedua-dua pasukan menghitung pertemuan sesama sendiri.

Juara bertahan, Juve berpeluang merangkul gelaran Serie A jika mereka melakar kemenangan ke atas Napoli.

“Napoli telah mengharungi kempen yang cukup cemerlang, dan mereka masih lagi berjuang. Saya fikir dua perlawanan berikut amat penting bagi perebutan Scudetto.

“Kami bukanlah pasukan pilihan untuk Scudetto. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua, kerana bukan mudah meraih kemenangan seperti ini selepas mengharungi pengalaman memeritkan dalam Liga Juara-Juara,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

Tiga gol kemenangan Juventus ke atas Sampdoria diledakkan oleh Mario Mandzukic (minit ke-45), Benedikt Howedes (minit ke-60) dan Sami Khedira (minit ke-75). - AFP