Anak jati Sabah itu yang diberi jolokan 'The Iron Man' kerana kekentalannya mengemudi barisan pertahanan Sabah pada era 90-an, mendedahkan kejayaan tersebut amat bermakna untuk dirinya memandangkan Sabah sudah lama tidak mengecapi sebarang trofi dalam saingan Liga Malaysia.

"Sudah 23 tahun kita menunggu untuk memenangi trofi, dan apabila kita meraih kejayaan selaku jurulatih, ia satu perkara bermakna bagi saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan Liga Premier menentang UiTM FC di Stadium UiTM, di sini, malam tadi.

Sabah muncul juara Liga Premier 2019 selepas mengalahkan UiTM FC 2-1 pada perlawanan berkenaan dan meraih 40 mata dengan baki tiga perlawanan.

Kejayaan manis berkenaan turut dibantu kekalahan mengejut 1-3 pencabar terdekat mereka, Johor Darul Ta'zim II kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kejayaan tersebut membolehkan Sabah naik ke saingan Liga Super 2020.Untuk rekod, kali terakhir Sabah beraksi pada Liga Super 2012 yang menyaksikan mereka menduduki tangga ke-13.

Pada aksi di Shah Alam, UiTM FC berada di hadapan hasil jaringan Zarko Korac pada minit ke-30, sebelum Sabah bangkit menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti Rodoljub Paunovic pada minit ke-57 dan gol padang Aguinaldo Mendes Veiga pada minit ke-66.

Ditanya resipi kejayaan skuad Tambadau (Seladang) pada musim ini, Jelius yang membantu Sabah muncul juara Liga Perdana 1996 memaklumkan, ia hasil usaha keras beliau dan barisan kejurulatihan dalam membentuk skuad yang mantap sejak dua tahun lepas.

Beliau pada masa sama turut mendedahkan Sabah hanya mempunyai tiga pemain berusia lebih 30 tahun, manakala selebihnya berusia 26 tahun ke bawah.

"Walaupun kita mempunyai ramai pemain muda, namun mereka turut membuktikan kemampuan masing-masing dan kita membentuk mereka dengan memberi satu motivasi terbaik iaitu keputusan terbaik kepada mereka.

"Saya bukan bercakap mengenai kekananan tapi kualiti dan prestasi...ada pemain baru masuk dan dia ada kualiti, saya akan beri peluang kepada dia untuk beraksi dalam kesebelasan utama," tegas Jelius.- BERNAMA