Bernama difahamkan satu pertemuan antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Joshua, baru-baru ini bagi membincangkan kemungkinan dia diserap ke dalam skuad B-19 kebangsaan berjalan lancar, selepas berjaya mengemukakan dokumentasi sahih sebagai bukti memiliki pertalian darah di Malaysia.

Mencipta nama dalam kancah Hessenliga B-17, satu daripada lima cabang Bundesliga 2 B-17, pertahanan kiri berusia 16 tahun itu yang digelar ‘Bolt’ kerana memiliki kepantasan luar biasa menjadi buruan di Jerman dengan lebih 10 kelab profesional dilapor berminat mendapatkan khidmatnya.

Joshua yang turut diberi jolokan ‘glucksbringe’ yang membawa maksud pembawa tuah dalam kalangan rakan sepasukan, sebelum ini pernah dilamar SV Wehen Wiesbaden, FSV Frankfurt dan SV Sandhaasen - tiga pasukan bersaing dalam divisyen liga remaja tertinggi di Jerman, Bundesliga B-17.

Tidak terhenti di situ, nama Joshua terus berkembang di Eropah dengan beberapa skuad remaja kelab profesional di England - Brighton, Fulham, Leeds United dan Queen Park Rangers antara yang pernah menawarkannya peluang berlatih, selain menguji kemampuan bersama skuad remaja mereka.

Bernama berpeluang menemubual Joshua secara eksklusif ketika pemain itu bercuti di Kuala Lumpur, baru-baru ini, sebelum kembali ke Jerman untuk menyertai kem persediaan pramusim.

Walaupun dia memiliki potensi dan perjalanan karier yang cerah di Jerman, Joshua berkata, impiannya sejak kecil adalah mewakili dan mengharumkan nama Malaysia, negara kelahiran ibunya yang merupakan seorang anak jati Selangor.

“Saya sentiasa memasang impian untuk mewakili Malaysia. Kami mempunyai keluarga Malaysia yang besar di Jerman dan mereka semua teruja melihat saya menyarung jersi Malaysia, bagaimanapun saya hanya mengikut kata hati saya.

“Mengetahui bahawa bola sepak Malaysia semakin baik, dan sekiranya saya menjadi satu daripada faktor peningkatan itu, ia amat membanggakan saya. Seperti remaja lain, saya juga ingin membantu meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.

Mengakui JDT dan Selangor mempunyai tempat istimewa dalam hatinya, adik kepada penjaga gol JDT III, Julian Johan itu berkata, dia sering mengikuti perkembangan skuad Harimau Malaya, selain menonton saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Katanya, Liga-M mempunyai pemain berkualiti tinggi dan turut teruja dengan kemahiran dimiliki penyerang JDT, Muhammad Safawi Rasid dan pemain sayap Pahang yang juga pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.

“Saya banyak mengetahui mengenai bola sepak Malaysia dari Selangor dan JDT. Saya juga menonton Liga Malaysia secara dalam talian. Saya turut memerhatikan banyak pemain berbakat seperti Safawi dan Sumareh. Sangat menarik, Malaysia sebenarnya mempunyai potensi besar,” katanya.

Joshua, bagaimanapun, menjelaskan dalam tempoh dua hingga tiga tahun mendatang, dia lebih selesa mengembangkan bakatnya di Jerman, tetapi tidak akan menolak sekiranya dipanggil menyertai skuad kebangsaan. - BERNAMA