Pengurus pasukan Jerman, Oliver Bierhoff berkata pasukannya perlu menerima kekalahan kepada Perancis akibat gagal memasukkan bola ke dalam gawang lawannya itu.

“2-0 bukanlah satu keputusan yang adil kerana kami beraksi dengan baik sepanjang kejohanan ini, namun tetap tersingkir. Ini satu perkara yang amat pahit untuk ditelan,” kata penjaga gol Jerman, Manuel Neuer.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew turut senada dengan kekecewaan para pemainnya dan tidak mampu memberi sebarang ulasan terhadap kekalahan pasukannya kepada Perancis.

“Semua orang berasa kecewa dengan keputusan itu. Kami bermain dengan penuh bersemangat dalam kejohanan ini dan mendominasi perlawanan itu, tetapi tidak mampu menjaringkan gol meskipun pasukan mempamer­kan prestasi yang baik,” katanya.

Loew tidak terlepas daripada melakukan kesalahan apabila pengendali Jerman itu dilihat terlalu bergantung kepada sayap belakang untuk merancang gol dan semakin lama perlawanan berlalu, pemain-pemain itu menjadi kurang efektif.

Bagaimanapun, kekalahan kali ini tidaklah seteruk dihadapi ketika tewas kepada Itali dalam Euro 2012 kerana bezanya, Loew kini tidak dikecam hebat oleh media Jerman, malah disanjung tinggi.

Tabloid dari Berlin, BZ telah mengeluar­kan artikel panjang dengan menghargai pencapaian Loew, semangat berpasukan Jerman dan prestasi pasukan itu dalam kejohanan tersebut.

Meskipun Loew enggan menjelaskan berhubung jawatannya selepas tamatnya kejohanan itu, tiada sesiapapun di Jerman yang mahukan dia meletakkan jawatan, malah tidak ada sesiapapun yang mahu perkara itu berlaku.

Pertahanan Jerman, Mats Hummels memberitahu, menjadi suatu perkara yang agak menjengkelkan jika sesiapa ingin berbincang berhubung masa depan mereka sejurus keadaan yang dialami pasukan itu ketika ini iaitu tewas di separuh akhir.

“Sejak beberapa bulan yang lalu, kami sering mengandaikan dia (Loew) akan kekal bersama Jerman walau apa jua pencapaian pasukan dalam kejohanan ini,” katanya. – AGENSI