Satu demi satu jenaka memenuhi media sosial selepas mereka tewas 0-2 kepada Korea Selatan, iaitu kegagalan pertama skuad Die Mannschaft melepasi peringkat kumpulan sejak 1938 - 80 tahun lalu.

“Jangan sebut tentang VAR,” adalah jenaka paling popular, manakala media Brazil membalas dendam atas kekalahan 1-7 kepada Jerman pada Piala Dunia 2014.

“AHAHAHAHAHAHAHAHAHA...” demikian mesej Twitter daripada Fox Sports Brasil yang menggunakan 272 karakter.

Dalam aksi penuh dramatik di Kazan, jaringan pembukaan Kim Young-gwon pada minit kedua waktu kecederaan meletakkan Korea Selatan mendahului 1-0. Jaringan itu hanya disahkan selepas pengadil melihat Video Bantuan Pengadil (VAR).

Bintang tengah Tottenham, Son Heung-min melengkapkan kemenangan 2-0 pada minit keenam waktu kecederaan.

“Penyingkiran terpantas Jerman dari Rusia sejak 1943,” kata seorang pengguna, manakala seorang lagi menghantar gambar tuala Jerman memenuhi semua tempat duduk di sebuah pesawat yang kosong.

Penyokong Mexico paling gembira kerana kemenangan Korea Selatan membolehkan mereka layak melangkah ke peringkat 16 terakhir di belakang juara Kumpulan F, Sweden manakala Jerman di tangga tercorot.

Aeromexico menawarkan diskaun 20 peratus untuk penerbangan ke Korea Selatan, dengan imej Twitter sebuah pesawat tertulis “AeroCorea” dan slogan “Kami sayang kamu Korea!”

Ryanair memuat naik gambar peminat Jerman yang tidak gembira, menawarkan “Loew fares” (tambang murah) yang merujuk kepada jurulatih Jerman, Joachim Loew.

Satu jenaka di Jerman menunjukkan seorang petugas pasaraya bertanya kepada Loew: “Adakah anda mengutip sebarang mata?” dan jurulatih itu membalas “Tidak.”

Sementara itu, bekas penyerang England yang kini menjadi pengulas televisyen, Gary Lineker menukar semula kata-kata yang pernah dikeluarkan sebelum ini: “Bola sepak sukan yang mudah. Dua puluh dua orang mengejar sebiji bola selama 90 minit dan pada akhirnya Jerman sentiasa menang.”

Kali ini dia menghantar mesej Twitter: “Bola sepak sukan yang mudah. Dua puluh dua orang mengejar sebiji bola dalam tempoh 90 minit dan Jerman tidak selalunya menang. Versi terdahulu kini tinggal sejarah.” - AFP