Ahmad Hazwan Bakri muncul penyelamat Harimau Selatan apabila menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan hampir memasuki tempoh 10 minit terakhir permainan.

Beraksi di hadapan lebih 8,000 penonton, JDT terlebih dahulu membuka jaringan menerusi percubaan Safawi Rasid melepaskan rembatan deras dengan menggunakan kaki kiri dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-13.

Sebelum babak pertama berakhir, pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil setelah bola terkena tangan La’ Vere Corbin-Ong dan melayangkan kad kuning kepada pemain pertahanan itu.

Khairul Amri tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gawang, Mohd. Izham Tarmizi bagi menyamakan kedudukan.

Skuad bimbingan Raul Longhi memerah keringat melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang lawan akhirnya berjaya mendapat gol kemenangan menerusi percubaan Ahmad Hazwan pada minit ke-79 bagi membolehkan JDT mengutip tiga mata
.

Terdahulu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan H, Persija Jakarta menewaskan pasukan dari Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta. - UTUSAN ONLINE