Rekod cemerlang JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos jelas terlalu sukar untuk dicemarkan oleh pa­sukan pelawat dengan Persija menyaksikan Hazwan Bakri, Jorge Pereyra Diaz dan Safawi Rasid masing-masing menjaringkan satu gol.

Harimau Selatan me­nguasai perlawanan sebaik sahaja permainan bermula dengan peluang pertama tercipta pada minit kedua menerusi tandukan Fadhli Shas namun percubaannya sekadar mengegar gawang.

Tuan rumah sekali lagi membuat percubaan pada minit kelima, kali ini menerusi tandukan Luciano Figueroa tetapi diselamatkan penjaga gol Andritany Ardhiyasa.

Asakan JDT akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-29 apabila Hazwan Bakri berjaya menyempurnakan hantaran Azrif Nasrulhaq untuk menghasilkan gol pembakar semangat skuad tuan rumah.

Pemain dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz kemudian menambah kelebihan jaringan tuan rumah menerusi gerakan menarik pada minit ke-41 untuk JDT mendahului 2-0 sebelum rehat.

Pasukan pelawat mendapat peluang terbaik mereka untuk mengurangkan defisit gol pada minit ke-70 setelah penyerang veteran Bambang Pamungkas berjaya menggelecek Farizal Marlias namun kecewa apabila sepakannya kemudian hanya mengenai tiang.

Safawi yang dibawa ma­suk menggantikan Hazwan menyempurnakan malam gemilang JDT dengan ja­ring­an ketiga pada minit ke-76 selepas menerima hantaran Diaz.

Mendahului tiga gol bagaimanapun tidak me­ngurangkan semangat JDT untuk terus mengasak kubu lawan namun dikecewakan oleh percubaan kurang cermat dan pertahanan lawan yang bekerja keras hingga masa penamat.