Figueroa, 37, berkata, aksi Harimau Selatan dalam babak kedua sedikit longlai hingga membuka ruang kepada pasukan pelawat merapatkan jurang dan mencari peluang menyamakan kedudukan.

"Menentang pasukan yang bermain corak bertahan menyukarkan kami untuk mencari ruang mencipta gerakan apatah lagi cuba memecah belahkan benteng pertahanan mereka. Ini memaksa kami bermain lebih pantas bagi memburu jaringan.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati JDT meraih kemenangan tetapi ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan bagi mencapai tahap permainan yang kami mahukan," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Dalam pada itu, Figueroa berkata, JDT juga perlu memperbaiki taktikal pertahanan mereka yang mudah bolos setiap kali pasukan lawan melakukan serangan balas pantas bagi mencipta jaringan.

Katanya, Maurício Nascimento dan Natxo Insa dijangka kembali memperkuatkan pasukan menentang Selangor pada perlawanan liga seterusnya, manakala, Hariss Harun digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning ketiga pada pertemuan, semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata, kecederaan yang dialami Anselmo Arruda Da Silva pada awal babak pertama merencatkan permainan pasukannya hingga memberikan dua gol kepada tuan rumah.

Jelasnya, pemain mempamerkan kesungguhan dalam babak kedua bagi mencipta kebangkitan, namun, berjaya menghasilkan satu gol sahaja.

"Pada perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur, kita tidak boleh kehilangan mata lagi terutamanya ketika beraksi di laman sendiri jika ingin kekal di kelompok teratas liga," katanya.