Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan kembali merampas takhta liga dengan mengutip 16 mata setelah mengharungi enam perlawanan liga, setakat ini.

Menurut Figeuroa, keputusan itu hasil daripada sema­ngat juang tinggi pemain yang mengetepikan soal kepenatan apabila menempuh perjalanan jauh beberapa hari lalu, selain, berdepan jadual yang padat.

“Inilah perwatakan yang kami mahu daripada setiap pemain untuk mempamerkan disiplin diri yang tinggi dan memberikan aksi terbaik bagi melakarkan kemenangan biarpun berdepan pelbagai kekangan.

“Kemenangan ini amat pen­ting buat JDT kembali berada di puncak liga. Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang bertungkus lumus memastikan tiga mata berada dalam genggaman,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Mengulas mengenai penampilan pertama Akhyar Rashid dalam kesebelasan utama, pengendali kelahiran Argentina itu dilihat berpuas hati dengan peranan dimainkan bintang muda itu yang kerap mengkucar-kacirkan pertahanan lawan dan hampir mencipta jaringan.

“Dia masih muda dan perlu menjadi lebih agresif bagi menyesuaikan diri dengan corak permainan JDT. Selain Akhyar, Nazmi Faiz Mansor dan Leandro Velazguez turut mencuri tum­puan di bahagian tengah yang banyak mengatur serangan dan membuat umpanan menarik buat Diogo Luis Santo serta Gonzalo Cabrera.

“Saya berharap aksi positif ini dapat ditambah baik dengan kurang melakukan kesilapan pada perlawanan akan datang apabila JDT melayan kunjungan Gyeongnam FC dari Korea Selatan bagi aksi kedua ACL,” katanya.