Biarpun baru kembali daripada tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan dalam kempen kelayakan Kejuaraan AFC bawah 23 (B-23), namun pemain tengah berusia 19 tahun itu dilihat turut menaiki bas pasukan JDT sebelum berlepas ke Alor Setar hari ini.

Perkembangan itu membuatkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris mengi­ngatkan penyokong agar menjaga kelakuan dan tidak menimbulkan provokasi kerana sedar kedua pasukan mempu­nyai ‘kisah panjang’ yang belum berkesudahan.

“Saya harap pemain ber­aksi dengan sepenuh jiwa dan dalam masa sama tidak terlalu yakin. Saya mahu kemenangan berpihak kepada Kedah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu anak-anak buahnya menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri untuk ‘membaham’ JDT.

Katanya, Kedah sudah bersedia untuk memberi tenta­ngan sengit dalam aksi yang dijangka penuh mencabar.

“Semua pemain dalam ­ke­adaan positif dan bermotivasi tinggi menantikan perlawanan tersebut.

“Saya lihat mereka amat bersemangat dan berada dalam fizikal yang terbaik untuk memberi tentangan hebat kepada JDT,” katanya.

Katanya lagi, meskipun pa­su­kan terpaksa beraksi tanpa pertahanan import, Renan ­Al­ves yang digantung dua perlawanan akibat dilayangkan kad merah, namun semangat mereka untuk memburu kemenangan tetap tinggi.

“Kita telah melakukan persiapan bagi menghadapi situasi tersebut (penggantungan Alves) dan yakin pemain mampu mempersembahkan apa yang telah dirancang.

“Kita tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana lawan yang bertandang ke Stadium Darul Aman,” ujarnya.

Kedah yang mengumpul 11 mata selepas enam perlawanan menghuni tangga ketiga liga, lima mata di belakang JDT.

Jika Kedah turun dengan rekod tanpa kalah di laman sendiri musim ini, juara Liga Super lima kali berturut-turut, JDT pula belum pernah tewas dalam semua perlawanan.