Ketua jurulatih, Benjamin Mora berkata, pemain-pemainnya perlu bijak mengawal emosi mereka untuk memberikan 100 peratus persembahan terbaik dan kekal fokus selama 90 minit permainan.

“Ia menjadi satu pertemuan yang penuh emosi buat kami serta penyokong setia Harimau Selatan kerana sejak dari mula lagi, JDT menginginkan untuk bermain pada kejohanan ter­tinggi dan hari ini, cita-cita itu menjadi realiti.

“Kita sudah melalui tugas sukar apabila tewas 1-2 ketika menentang juara bertahan, Kashima Antlers dalam perlawanan sulung ACL yang menyaksikan para pemain sudah melakukan tugas yang baik. Ini adalah perlawanan berbeza dan berharap dapat gunakan kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Apa-apapun keputusan esok, jika kami sudah memberikan aksi terbaik 100 peratus seperti kebiasaannya, ia memadai buat kami. Jika kami mampu beraksi dengan baik di tempat lawan (Jepun), pastinya kami dapat melakukan perkara sama esok,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pasukan lawan, Mora melihat Gyeongnam sebagai satu pasukan yang teratur dan kreatif, selain, mempunyai dua penyerang berbisa terutamanya pemain berjersi nombor 10 iaitu Kim Seung-Jun.

Sementara itu, ketua jurulatih Gyeongnam, Kim Jongpu mengakui JDT merupakan pasukan hebat yang ber­belanja besar serta dibarisi pemain berkebolehan, selain, diperkuatkan dengan kehadiran penyerang, Diogo Luis Santo yang berpindah daripada liga Thailand.

“Mereka pasukan yang hebat, dan mampu bermain dengan baik, pastinya ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Pada perlawanan pertama, kami sekadar seri 2-2 dengan kelab China, Shandong Luneng,” katanya.