Sentuhan Norshahrul Idlan Talaha di peringkat antarabangsa jelas masih berbisa apabila ja­ringannya pada minit ke-30 menjadi pemisah kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang menyaksikan dua percubaan anak-anak buah Tan Cheng Hoe terkena tiang gol.

Harimau Malaya mendominasi sebahagian besar 45 minit pertama permainan dan nyaris membuka tirai jaringan pada minit ke-26 tetapi rembatan jarak jauh Safawi Rasid dinafikan oleh tiang gol.

Usaha Harimau Malaya me­ngasak kubu lawan bertubi-tubi akhirnya membuahkan hasil apabila empat minit kemudian Norshahrul menanduk masuk gol tunggal perlawanan setelah penyerang Pahang itu mene­rima hantaran daripada kapten Zaquan Adha Abd. Razak di dalam kawasan penalti.

Memasuki babak kedua, permainan kelihatan seimbang di antara kedua-dua pasukan apabila mereka saling mengasak ke kubu lawan dan Cheng Hoe dilihat cuba mengubah strategi permainan apabila melakukan tiga pertukaran.

Cheng Hoe membawa ma­suk Shahrel Fikri, Hazwan Bakri dan Akram Mahiran untuk digantikan dengan Norshahrul, Zaquan dan Irfan Zakaria.

Walau bagaimanapun, tidak banyak percubaan berbahaya yang dilakukan oleh pemain negara hingga minit ke-80 menyaksikan Malaysia hampir menggandakan jaringan namun rembatan Mohamadou Sumareh berjaya ditepis oleh penjaga gol Kemboja, Um Vichet.

Ketika permainan memasuki minit kecederaan, Malaysia memiliki peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi rembatan pemain naturalisasi pertama negara Sumareh sekadar mengenai tiang.