Timbalan Presidennya, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan pemain yang membuat kenyataan media berhubung isu tersebut.

Jelas beliau, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang dalam isu berkenaan yang disifatkan telah mencemarkan nama baik PFA yang baharu melalui proses tranformasi.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan agar pemain tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba merosakkan perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini.

“Kita juga meminta agar para peminat tidak mudah melatah dalam isu ini (tunggakan gaji) kerana terdapat perkara dalaman yang tidak disentuh pemain yang seolah-olah hanya menampakkan kesalahan PFA sahaja.

“Kepemimpinan baharu di bawah presiden sentiasa memberikan yang terbaik walaupun baru tiga bulan mengambil alih pentadbiran. Beri peluang kepada pengurusan baharu bagi menguruskan Singa Utara yang sudah lama tidur... Berilah peluang untuk kami bangkit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia, hari ini melaporkan nasib dialami oleh 18 pemain Singa Utara yang diibarat gantung tidak bertali kerana masih belum menerima tunggakan gaji seperti dijanjikan PFA.

Apa yang menyedihkan, sepanjang tempoh itu, mereka mendakwa terpaksa meneruskan hidup bekerja sebagai nelayan, buruh kasar dan berniaga kecil-kecilan. Kesemua pemain berkenaan sepatutnya mene­rima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan. Ia berdasarkan kontrak yang ditandatangani mereka berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Mengulas lanjut mengenai kemelut itu, Karim Khan membe­ritahu, PFA telah memanggil wakil pemain Liga FAM, Piala Presiden dan Belia 2018 pada satu perjumpaan khas, 7 Januari lalu untuk memberi penerangan berkaitan masalah kelewatan pembayaran serta tunggakan gaji pemain yang sepatutnya dibayar pada hari berkenaan seperti terkan­dung di dalam kontrak.

Namun, katanya, hanya wakil pemain Piala Presiden dan Belia yang hadir.

Karim Khan menambah, para pemain seharusnya mendapat maklumat daripada pihak pengurusan dan sebarang kenya­taan negatif yang diberikan kepada media tidak akan menyelesaikan sebarang masalah berbangkit.