Idea itu hadir selepas badan bola sepak tersebut kecewa de­ngan sikap segelintir penyokong tidak bertanggungjawab yang meninggalkan stadium dalam keadaan kotor sejurus tamat perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat lalu.

KFA dalam Facebook rasmi mereka hari ini berkongsi beberapa gambar pekerja Perbadanan Stadium Negeri Kedah sedang membersihkan sampah yang dibuang merata-rata.

“Hendak menjadi negeri maju perkara paling asas adalah menjaga kebersihan.

“Sikap bertanggungjawab itu perlu ada dalam diri setiap orang. Saya harap, tindakan seperti itu tidak dilakukan lagi. Disebabkan segelintir penyokong, akhirnya semua mendapat kesan.

“Mungkin selepas ini kita akan beri hadiah kepada mereka yang membersihkan kawasan masing-masing.

“Langkah itu antara inisiatif bakal diambil bagi memupuk kesedaran penyokong menjaga kebersihan,” kata Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris kepada Utusan Malaysia.

KFA dalam Facebook mereka turut menyeru penyokong agar tidak ti­dak mengulangi perbuatan tersebut apabila Stadium Darul Aman menerima kunjungan Selangor Uni­ted dalam aksi Piala FA, Rabu ini.

“Come on brooo! We are better than this!,” tulis KFA.

Sementara itu, Presiden Peminat Bola Sepak Kedah (PBK) Ahmad Fazli Mansor berkata, perkara seperti ini tidak akan berlaku jika penyokong menganggap stadium rumah kedua mereka.

“Stadium kotor mencerminkan sikap penyokong sendiri, jadi kita sebagai peminat bola sepak sejati haruslah timbulkan sikap yang baik. Stadium adalah rumah kedua kita,” katanya.

Penasihat kelab penyokong Red Eagle Frenz Kedah, Amirul Ashraf Abu Mansor pula terkilan kerana masih ada penyokong yang tidak menjaga kebersihan.

“Sebelum ini pada 2017 KFA pernah mengadakan kempen kesedaran kebersihan, jadi saya amat kecewa dengan segelintir peminat dan harap tidak berlaku lagi,” katanya.