Namun dengan memberi alasan jadual perlawanan yang padat dan perlu dihabiskan sebelum Oktober, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memilih untuk meneruskan pertandingan musim ini dalam bulan Ramadan seperti tahun-tahun sebe­lumnya.

Ini bermakna ia bakal melibatkan sebanyak 18 perlawanan Liga Super dan beberapa perlawanan Liga Perdana dan Piala FA.

Meskipun kesemua perlawanan itu berlangsung pada se­belah malam, ia tetap ­dikhuatiri menjejaskan keselesaan pemain, yang perlu menga­tur waktu rehat, beribadat, makan dan tidur secukupnya bagi menjalani ibadah berpuasa di siang hari.

Yang menjadi persoalan ialah apabila tidak ada satu persatuan yang membantah atau memberi cadangan kepada MFL tentang bagaimana untuk mengatasi masalah ini.

Ramadan berlangsung setiap tahun, tentunya ada mekanisme yang boleh atau dapat difikirkan demi kebaikan bersama.

Janganlah kita cepat sangat menerima ‘bulat-bulat’ cadangan penganjur tanpa menimbangkan hal-hal berkaitan agama.
Khabarnya perlawanan liga pada bulan Ramadan dijadual berlangsung pukul 10 malam dan berakhir tidak kurang pukul 12 tengah malam.

Bagi pemain beragama Islam tentunya ia satu cabaran yang amat besar yang perlu diharungi.

Perkara yang lebih besar perlu difikirkan ialah, ia bukan hanya melibatkan pemain bahkan penyokong yang datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan. Jumlahnya bukan kecil terutama pasukan yang mempunyai jumlah penyokong yang ramai.

Yang pasti, jumlah kehadiran penonton sepanjang Ramadan ini sudah pastinya merosot. Bagi pemain, mereka tidak ada pilihan kecuali meneruskan aksi di tengah padang.

Seorang ustaz yang memang kaki bola pernah bersembang. Katanya kalaulah kita dapat me­ngajak ramai orang ke masjid tentu banyak pahalanya terutama pada bulan Ramadan tetapi kalau kita mengajak orang ke stadium hanya untuk menonton bola, ustaz hanya gelengkan kepala.

Kita faham jika pemain ber­agama Islam terpaksa menyesuaikan diri dalam bulan puasa jika beraksi dalam liga-liga utama di Eropah. Namun hal ini berlaku di Malaysia, dengan agama rasmi dan majoritinya beragama Islam apalagi apabila pilihan berada ditangan kita sendiri.

Mungkin musim baharu pertandingan boleh dilangsungkan seawal Disember. Misalnya pada penghujung musim 2019 ini, diadakan terus pertandingan musim berikutnya.

Ini kerana pada kebiasaannya final Piala Malaysia yang menjadi pertandingan terakhir berlangsung pada bulan Oktober atau awal November.

Bagi mengelak kekeliruan le­takkan tanda pertandingan sebagai musim 2019/20.

Memandangkan waktu agak suntuk untuk merombak jadual pertandingan bagi musim baharu 2019 ini, tidak banyak yang dapat dilakukan. Mungkin cadangan ini boleh dipertimbangkan untuk musim 2020 nanti.