Ketenangan Insa mengemudi jentera tengah skuad Harimau Selatan dilihat sebagai faktor utama pemain berusia 31 tahun itu memenangi anugerah tersebut.

Bekas pemain Levante itu mendapat undian tertinggi menewaskan empat lagi pencabar lain apabila meraih 46.11 peratus undi (2,847 undian), jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, Marko Simic (Melaka United) yang mencatat 29.95 peratus (1,849 undian).

Penggempur berbisa FELDA United, Thiago Augusto mengutip 9.85 undian (608 undian), sementara bintang import Pahang, Matheus Alves meraih 7.18 peratus undi (443 undian).

Satu-satunya pemain tempatan yang dicalonkan bagi anugerah berkenaan adalah rakan sepasukan Thiago di FELDA United, Wan Zack Haikal yang sekadar berpuas hati dengan 6.12 peratus undi (427 undi).

Undian dilakukan oleh penyokong bola sepak tempatan dalam laman web rasmi PFAM sepanjang minggu bermula 2 Oktober lalu sehingga 12 tengah hari 12 Oktober ini. - UTUSAN ONLINE