PKNS FC dalam satu kenyataan hari ini berkata, lapan tonggak yang diketuai Kpah Sean Sherman, Rodney Akwensivie, Tamirlan Kozubaev dan Farhan Abu Bakar dijangkiti virus Influenza B dan sedang menerima rawatan doktor.

Perkembangan itu memaksa Red Ants memohon kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menunda perlawanan menentang Melaka di Stadium Hang Jebat.

“PKNS FC mengucapkan terima kasih kepada MFL dan Melaka United di atas keprihatinan ini,” kata PKNS FC yang bagaimanapun tidak menyatakan perkembangan terkini kesemua pemain terlibat.

Sementara itu, JDT pula mengesahkan, semua pemain mereka yang dijangkiti influenza berada dalam keadaan stabil.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Shaharom Nor Azian Che Mat Din berkata, mereka mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas disahkan dijangkiti virus tersebut.

"Sebelum ini sembilan kes influenza dilaporkan mulai 2 Julai 2019. Lapan daripada kes itu disahkan Influenza B manakala seorang lagi Influenza A," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, 17 pemain JDT dilaporkan dijangkiti virus berkenaan melibatkan 10 daripada pasukan utama, empat JDT II, tiga JDT III selain jurulatih serta kakitangan kelab.

Shaharom berkata, kejadian kluster itu selari dengan peningkatan kes influenza yang dijangka berlaku pada musim hujan.

Bagaimanapun katanya, tiada wabak atau kejadian melampaui tahap biasa kejadian dan keadaan masih terkawal.

Jelasnya, tindakan awal diambil bagi mencegah penularan seterusnya iaitu dengan melakukan disinfeksi pusat latihan pemain bola sepak di Padang Seri Gelam di sini dan pembersihan dari semasa ke semasa perlu dijalankan sebagai 
langkah pencegahan dan kawalan.

Kedua, pemberian suntikan prophylaxis iaitu influenza PFS vaccine kepada 31 orang termasuk pemain dan jurulatih.

“Pembekalan alcohol hand rub dibekalkan di bilik rawatan pemain.

“Influenza adalah penyakit yang disebabkan virus yang berjangkit melalui sistem pernafasan dengan gejala utama seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit kepala, sakit otot dan kelesuan,” katanya lagi.