Syafiq gagal menemukan sasaran ketika beraksi dalam dua perlawanan peringkat Kumpulan A dan dia kini seperti musafir dahaga yang mengharapkan nasib baiknya ketika menjadikan Indonesia mangsa sebelum ini hadir sekali lagi.

Pemain tengah skuad Malaysia bawah 22 itu menjaringkan gol pembukaan ketika anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee menang selesa 3-0 ke atas Indonesia dalam kempen kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok bulan lalu.

Mengakui prestasinya masih belum mencapai piawaian, pemain dari Pulau Pinang itu berkata dia perlu meningkatkan usahanya untuk membantu Malaysia mencipta kemenangan dalam separuh akhir esok.

“Saya masih tidak berpuas hati dengan corak permainan sendiri. Saya nampak perbezaan yang ketara sewaktu saya bermain di Bangkok dan Sukan SEA. Persembahan saya tidak mencapai piawaian yang saya sendiri tetapkan.

“Persembahan saya lebih baik di Bangkok manakala di sini saya masih belum mendapat rentak. Di Bangkok saya menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Indonesia dan mungkin jumpa lawan yang sama saya berpeluang untuk menjaringkan gol lagi.

“Saya mahu membuka akaun gol dan mungkin perlawanan esok (hari ini) saya dapat melakukannya dan dengan jaringan itu juga saya dapat membantu Malaysia layak ke babak akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, kapten Indonesia, Hansamu Yama Pranata, yang tidak dapat beraksi esok kerana mengutip dua kad kuning, berkata walaupun akan beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah namun rakan-rakannya telah bersedia untuk mencipta kemenangan.

“Bola sepak bukan permainan melibatkan satu atau dua pemain sahaja dan walaupun saya tidak boleh bermain esok kami tetap ada pemain untuk menggantikan saya.

“Tiada masalah bermain di tempat lawan kerana tujuan kami tetap sama iaitu mencari kemenangan. Sama ada ramai penonton atau tidak bagi saya tiada bezanya kerana kami tetap mahu menang,” katanya.