Malah, penyerang England itu juga menganggap kemenangan tersebut sebagai permulaan kepada kebangkitan mereka, terutama selepas pemecatan mengejut pengurus, Claudio Ranieri.

Vardy meledak dua gol di Stadium King Power manakala satu lagi jaringan tuan rumah hadir menerusi gol cantik Danny Drinkwater, sekali gus mengeluarkan The Foxes dari zon penyingkiran.

“Kami diberi terlalu banyak tekanan yang tidak adil. Anda boleh nampak banyak laporan negatif dalam akhbar mahu pun internet sejak akhir-akhir ini.

“Anda juga boleh lihat pemain cuba membuktikan sesuatu menerusi respons yang ditunjukkan hari ini dan sekarang semua terpulang kepada kami untuk bermain dengan lebih konsisten.

“Saya tidak boleh beritahu mengapa (Leicester bermain dengan sangat buruk), saya tidak boleh menuding jari kepada sesiapa.

“Kami hanya mampu bekerja keras dan terus bekerja keras untuk memastikan perkara itu tidak berulang. Hari ini, segala usaha kami menjadi,” kata Vardy kepada Sky Sports.

Dua hari selepas menafikan dakwaan dia adalah punca pemecatan Ranieri, Vardy menunjukkan prestasi cemerlang untuk mengetuai kebangkitan The Foxes.

Gol pertama hadir pada minit ke-28 selepas Vardy yang gagal dikawal pertahanan Liverpool membuat larian solo ke kawasan lawan sebelum melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan penjaga gol, Simon Mignolet.

Drinkwater menggandakan kedudukan 2-0, enam minit sebelum tamat babak pertama selepas melepaskan rembatan cantik dari luar kotak penalti, sebelum Vardy menambah gol ketiga menerusi tandukan pada minit ke-60.

Liverpool yang tenggelam sepanjang perlawanan berjaya memperoleh gol saguhati menerusi bintang tengah Brazil, Phillippe Coutinho pada minit ke-68.

Sementara itu, pengurus sementara Leicester, Craig Shakespeare berkata, dia bersedia mengambil alih tugas membimbing kelab secara sepenuh masa.

Shakespeare yang merupakan pembantu Ranieri bagaimanapun berkata, semua terpulang kepada pemilik kelab untuk menentukan masa depannya di Leicester.

“Anda rasa saya sesuai untuk tugas itu? Saya fikir ya. Adakah ia mengganggu saya? Tidak.

“Bagaimanapun semuanya terpulang kepada pemilik kelab untuk memutuskan siapa sesuai membimbing kelab ini.

“Mereka pasti akan duduk berbincang dan saya hanya akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya. – AGENSI