Jaringan Sadio Mane seawal minit ke-10 dan Roberto Firmino pada minit ke-45 memastikan Reds menumpaskan juara 2015/2016, Leicester City 2-1 di Stadium King Power, hari ini.

Begitupun, selepas mempa­mer aksi meyakinkan pada babak pertama, Alisson nyaris memberi ‘mimpi ngeri’ kepada Liverpool apabila kesilapannya membolehkan tuan rumah meledak gol semangat menerusi pemain tengah Algeria, Rachid Ghezzal pada minit ke-63.

Alisson sepatutnya mengeluarkan bola selepas menerima hantaran ke belakang daripada Virgil van Dijk, namun tindakannya cuba menggelecek bola menyebabkan ia dirampas oleh Kelechi Iheanacho.

Iheanacho kemudian menghantar bola untuk disempurnakan Rachid Ghezzal, sekali gus menaikkan semangat pemain tuan rumah yang mengatur asakan bertali arus selepas itu.

Bimbang dengan tekanan berterusan yang diberikan Leicester, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengeluarkan Mohamed Salah dan Jordan Henderson untuk diganti dengan Xherdan Shaqiri serta Naby Keita.

Biarpun kemasukan kedua-dua pemain tersebut tidak menghasilkan gol tambahan, namun mereka berjaya menekan pertahanan tuan rumah sehingga merencatkan usaha mereka untuk mencari gol penyamaan.

Kemenangan keempat berturut-turut membolehkan Liverpool mencatat permulaan terbaik sejak 1990.

“Semuanya tidak kemas, bermula dengan hantaran ke belakang daripada Virgil van Dijk ketika penjaga gol tidak berada di posisi yang betul.

“Bagaimanapun dia (Alisson) patut mengeluarkan bola dan bukan menunjuk pandai atau cuba untuk bergaya,” kata le­genda Liverpool, Jamie Carragher ketika mengulas untuk Sky Sports. – AGENSI