Legenda Les Blues berusia 40 tahun itu menjulang Piala Dunia bersama negaranya pada 1998 tetapi berhasrat untuk menyekat kemaraan mereka dalam aksi separuh akhir kali ini.

Henry sebelum ini tidak pernah diminta untuk bekerjasama dengan Didier Deschamps dan kini bekerja selaku pembantu kepada pengendali Belgium, Roberto Martinez.

Dia merupakan antara watak utama ketika Perancis menjulang trofi pertama mereka ketika menjadi tuan rumah, 20 tahun lalu selain beraksi pada aksi final 2006 ketika tewas menerusi penentuan penalti kepada Itali yang turut menyaksikan Zinedine Zidane dilayangkan kad merah kerana menanduk Marco Materazzi.

Bekas penyerang Perancis yang meledak 51 gol dalam 123 penampilan dilihat kebuntuan selepas Belgium tersingkir ekoran jaringan Samuel Umititi yang menerima hantaran Antoine Griezmann menerusi sepakan penjuru pada minit ke-51.

Pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne berkata, dia tidak terkejut melihat Henry menyertai Perancis menyanyikan lagu kebangsaan mereka.

“Dia mungkin menyanyikan Les Marseillais bersama pasukannya dan itu adalah perkara biasa.

“Keadaan agak sukar buat Thierry tetapi dia bekerja bersama Belgium dan dia mahu kami menang,” katanya.

Bagaimanapun, Henry kelihatan tenang sebelum perlawanan bermula.

“Hatinya terpisah dua. Apa juga yang berlaku dia adalah warga Perancis.

“Dia akan bersama Belgium dan akan melakukan apa sahaja untuk membantu pasukan Belgium,” kata kapten Perancis, Hugo Lloris.– AGENSI