Skuad Helang Merah jelas memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dan keputusan itu menyaksikan pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak meraih tujuh mata sepanjang tiga perlawanan awal musim ini.

Dalam aksi itu, Kedah membuka tirai jaringan seawal minit ke-16 menerusi kapten Harimau Malaya, Mohamad Zaquan Adha.

Bekas pemain Kuala Lumpur itu bijak memanfaatkan kesilapan penjaga gol Felda United, Norazlan Razali yang gagal mendakap kemas rembatan Rizal Ghazali sekali gus Zaquan mudah menolak masuk bola ke gawang pasukan pelawat.

Pemain tengah, Anmar Fares Abdul Jabar menggandakan kedudukan buat Helang Merah hasil rembatan jarak jauh pada minit ke-41 menjadikan kedudukan 2-0 dalam aksi separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua perlawanan, Kedah tidak memperlahankan rentak dengan terus melancarkan serangan di kubu benteng pertahanan Felda United.

Hasilnya, Muhammad Shakir Hamzah berjaya meledak gol ketiga perlawanan selepas memanfaatkan sepakan penjuru yang disempurnakan oleh kapten, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-53.

Mohd. Fadzrul Danel Mohd. Nizam melengkapkan pesta gol Kedah selepas meledak gol keempat pada minit ke-74 sekali gus kedudukan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kedah bakal bertemu Petaling Jaya City Rangers di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya manakala Felda United berkunjung ke Ipoh menentang Perak pada 22 Februari ini. - UTUSAN ONLINE