Hazard secara terang-terangan menyatakan hasrat untuk menamatkan kariernya selama tujuh tahun di Stamford Bridge dan bakal membuat penampilan terakhir bersama Chelsea di final Liga Europa menentang Arsenal sebelum menyertai Real Madrid.

Bintang Belgium itu yang masih memiliki kontrak selama setahun lagi bersama The Blues, diletakkan tanda harga bernilai 87 juta pound (RM462.2 juta) untuk mana-mana pasukan mendapatkan pemain berusia 28 tahun itu.

Chelsea hanya berbelanja 32 juta pound (RM170 juta) ketika membeli penyerang terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Lille pada 2012.

Dia merupakan salah seorang pemain terbaik di dunia dan bakal berhijrah ke Sepanyol menyertai Real Madrid yang merupakan destinasi yang paling diimpikan oleh semua pemain dan kata sepakat akan tercapai sekiranya kelab gergasi itu bersetuju dengan harga yang ditetapkan Chelsea.

Untuk beberapa bulan kebelakangan ini, The Blues telah cuma memujuk Hazard untuk terus bersama kelab tersebut namun segala usaha yang dilakukan gagal menghalang hasrat pemain itu untuk berhijrah.

Dalam 12 bulan sebelum ini, Chelsea berjaya membawa masuk tiga pemain baharu iaitu Jorginho, Kepa Arrizabalaga dan Christian Pulisic, malah turut mendapatkan Gonzalo Higuain secara pinjaman sehingga berakhir musim ini.

Chelsea berminat melengkapkan mendapatkan semula Mateo Kovacic yang telah menghabiskan musim ini secara pinjaman bersama Real dan yakin kata sepakat mampu dicapai serta tidak akan melanggar larangan pemindahan.

Sebelum ini, pada Februari lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengharamkan Chelsea daripada membeli mana-mana pemain untuk dua jendela perpindahan akan datang.

Dalam masa sama, nasib pengendali Maurizio Sarri untuk terus kekal bersama The Blues juga ibarat telur berada di hujung tanduk. - AGENSI