Jaringan tersebut adalah salam pengenalan terbaik buat penyerang kelahiran Nigeria itu, apatah lagi beraksi di depan penonton sendiri.

"Ini bukan gol saya tetapi rakan-rakan sepasukan saya. Mereka sangat hebat dan ia telah memudahkan kerja saya.

"Ia permulaan yang baik dan saya gembira dapat menghadiahkan tiga mata pada penampilan sulung," kata Ifedayo.

Kemenangan tersebut membolehkan Selangor kekal dengan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan berturut-turut, sekali gus memintas Kedah untuk menghuni tangga ketiga liga dengan 21 mata.

Ifedayo memastikan kepercayaan yang diberikan jurulatih, B. Sathianathan dibalas dengan sebaik mungkin apabila meletakkan Red Giants di depan pada minit ke-34.

Bekas penyerang Felda United dan Melaka United itu kemudian menambah dua lagi gol pada minit ke-43 dan 57.

Sementara itu, gol tunggal Kedah hadir pada minit ke-64 menerusi penyerang import dari Argentina, Jonathan Bauman. - UTUSAN ONLINE