Kemenangan tersebut membolehkan Wolves mengumpul 32 mata selepas 23 perlawanan Liga Perdana Inggeris dan berterima kasih atas hatrik pemain Diogo Jota yang membantu pasukannya menewaskan Leicester City.

Dalam perlawanan tersebut gol awal dijaringkan oleh pemain tuan rumah Jota seawal minit keempat perlawanan sebelum menambah gol kedua pada minit ke-12 menerusi Ryan Bennett.

Separuh masa kedua menyaksikan Leicester City mempamerkan kebangkitan apabila lebih banyak menguasai perlawanan dan berjaya meraih gol pada minit ke-47 menerusi Demarai Gray dan berupaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 hasil jaringan sendiri pemain tuan rumah Conor Coady.

Bagaimanapun penguasaan Leicester City tidak kekal lama apabila gagal menyerap tekanan diberikan oleh tuan rumah dengan baik dan membenarkan Wolverhampton menambah gol ketiga pada minit ke-64 hasil jaringan Jota sebelum pelawat kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-87 menerusi Wes Morgan.

Jota menjadi penyelamat buat tuan rumah apabila jaringannya pada masa kecederaan membolehkan Wolves mengesahkan kemenangan. - AGENSI