DEJAN LOVREN
DEJAN LOVREN

Sesungguhnya tidak ramai lelaki bergelar suami di luar sana yang sanggup memaafkan pasangan mereka lebih-lebih lagi kecurangan itu dilakukan oleh isteri sendiri. Begitulah pengalaman pahit yang terpaksa dilalui Lovren, apabila mendapat perkhabaran yang isterinya, Anita berlaku curang dengan kenalan lama wanita itu bernama Dario Tobic.

Mendirikan rumah tangga pada 2012 setelah menjalin hubungan cinta selama lapan tahun iaitu sejak Lovren berusia 16 tahun, menyaksikan mereka berdua memiliki dua orang cahaya mata Elena, 3, dan Josip, setahun.

Namun, kebahagian rumah tangga yang dibina Lovren hanya mampu bertahan selama tiga tahun sebelum Anita mula menjalin hubungan sulit dengan Dario yang setahun lebih muda berbanding bintang Liverpool itu pada Disember 2015.

Anita dan Dario, seorang kakitangan perhutanan yang hanya memiliki pendapatan 200 pound (RM1,063) sebulan mula bertemu di Zagreb. Menurut kenalan rapat Anita, wanita itu berasa tertekan hidup di England dan kekecewaan yang dirasai mendorongnya menghubungi semula Dario yang dikenalinya sejak berusia 16 tahun menerusi aplikasi WhatsApp.

Anita berjaya meyakinkan Dario untuk terbang ke England dan pada awal Januari 2016, mereka berdua telah bertemu secara rahsia di sebuah hotel dekat Liverpool. Hubungan persahabatan itu telah bertukar kepada satu jalinan yang lebih serius.

“Rumah tangga Lovren dan Anita berada dalam masalah. Anita pula cuba mendapatkan perlindungan daripada rakan lamanya, Dario. Mereka kemudian menjalin hubungan sulit, Anita memberitahu Dario dia cintakan lelaki itu.

“Anita kata kepada Dario yang dia mahu pulang ke Zagreb dan bercadang untuk bercerai dengan Lovren. Tetapi sebaik Lovren dapat tahu, dia telah mengamuk,” kata sumber rapat dengan pasangan tersebut.

Berita itu nyata telah menjejaskan prestasi Lovren di padang bola. Dia malu dengan apa yang berlaku dan bimbang berita kecurangan isterinya dapat dihidu sahabat-handai dan juga keluarga.

Kisah rumah tangga Lovren memang berbeza dengan cerita pemain bola sepak yang biasanya curang terhadap isteri mereka, tetapi apa yang berlaku kepada bintang antarabangsa Croatia itu adalah sebaliknya.

Berazam untuk menyelamatkan rumah tangganya, Lovren sanggup membawa Anita bercuti selama dua minggu, walaupun pemain itu menyedari dia perlu beraksi pada Kejohanan Eropah 2016 di Perancis. Lovren juga berselisih faham dengan pengurus Croatia, Ante Cacic sehingga menyebabkan dia disingkirkan daripada skuad kebangsaan.

Ternyata usaha keras Lovren tersebut berhasil, apabila Anita membatalkan niatnya untuk bercerai setelah wanita itu mendapati dirinya hamil.