Syazwan yang beraksi dalam semua empat perlawanan Kumpulan A berkata, kesemua pasukan yang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir memiliki kekuatan tersendiri dan adalah yang terbaik di Asia Tenggara.

Pemain Kuala Lumpur itu juga berharap, pasukannya dapat menyerap sokongan padu lebih 80,000 penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini untuk mencari keputusan positif pada aksi pertama.

“Sudah semestinya perlawanan menentang Thailand lebih mencabar dan sengit, tambahan bermain di separuh akhir. Saya pasti semua pasukan ingin melangkah ke final dan akan bermain mati-matian.

“Bagi saya tiada perasaan takut atau gemuruh bertemu Thailand. Mungkin daripada segi serangan mereka cukup berbahaya namun kita juga mempunyai kekuatan tersendiri, selain bakal mendapat sokongan padu daripada penyokong di laman sendiri.

“Jika terus diberi peluang oleh jurulatih (Tan Cheng Hoe) untuk turun beraksi, saya janji akan beri yang terbaik dan berusaha sedaya upaya menghalang gawang daripada dibolosi lawan dengan mudah,” katanya ketika sesi latihan di Padang A Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini. - UTUSAN ONLINE