Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk meledak jaringan pembukaan menerusi rembatan deras Safawi Rasid pada minit ketujuh bagi meletakkan JDT di hadapan.

Juara Liga Super enam kali itu yang mempamerkan aksi yang dominan pada babak pertama hampir menggandakan jaringan namun percubaan Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo gagal menerjah gawang lawan.

Bersambung babak kedua, Diogo meletakkan JDT di posisi yang selesa apabila menjaringkan gol kedua dengan mudah menolak masuk hantaran Afiq Fazail yang gagal dikeluarkan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi pada minit ke-47.

Pasukan bimbingan K. Devan kembali menyamakan kedudukan dengan menghukum kesilapan di bahagian pertahanan JDT menerusi gol yang masing-masing dijaringkan Washington Brandao Dos Santos pada minit ke-59 disusuli Barathkumar Ramaloo pada minit ke-69.

Bagaimanapun, kegembiraan pasukan PJ City tidak bertahan lama apabila JDT sekali lagi kembali di hadapan jaringan kedua Diogo pada minit ke-71 bagi meletakkan pasukan di hadapan.

Jaringan Cabrera pada minit akhir permainan memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan Harimau Selatan, sekali gus menghuni tangga teratas Kumpulan B saingan Piala Malaysia. - UTUSAN ONLINE