Dalam aksi playoff kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi, skuad negara menepati ramalan apabila membenam Timor Leste 5-1, empat hari selepas membelasah lawan yang sama 7-1.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menyertai senarai 40 pasukan terbaik Asia, dengan undian pusingan kedua kelayakan tersebut akan diadakan pada 17 Julai depan di Qatar.

Shahrel Fikri Md. Fauzi muncul wira Harimau Malaya apabila meledak hatrik pada minit ke-11, 17 dan 64, manakala dua lagi jaringan Malaysia disempurnakan oleh Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid.

Pasukan negara tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang negara, Shahrel Fikri Md. Fauzi mudah menyudahkan umpanan Akhyar pada minit ke-11.

Begitupun, Timor Leste berpeluang menyamakan kedudukan dua minit kemudian namun Ifwat Akmal Chek Kassim mempamerkan aksi cemerlang menyelamatkan gawangnya meskipun berdepan situasi satu lawan satu dengan pemain sayap, Nelson Viegas.

Tersentak dengan serangan itu, pasukan negara membalas kembali apabila Shahrel mudah menanduk gol kedua peribadinya berpunca daripada sepakan penjuru pada minit ke-17.

Malaysia menambah gol ketiga pada minit ke-36 menerusi rembatan kencang Mohamadou Sumareh dalam kotak penalti sekali gus menamatkan kemarau jaringannya sejak November lalu.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Malaya terus bernafsu memburu jaringan dan tiba giliran Akhyar mencetak nama sebagai penjaring menerusi rembatan dalam kotak penalti untuk gol keempat negara.

Shahrel melengkap hatrik pada minit ke-64 untuk menewaskan penjaga gol Timor Leste, Fernandes Aderito buat kali kelima.

Meskipun ketinggalan 0-5, Timor Leste tetap berusaha mencipta peluang untuk mencari gol dan usaha mereka berhasil pada minit ke-71 menerusi tandukan Rufino untuk meletakkan kedudukan 1-5.

Pusingan kedua kelayakan dijadual berlangsung pada September ini, di mana 40 pasukan akan dibahagikepada lapan kumpulan dengan juara kumpulan dan empat pasukan kedua terbaik layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 serta slot automatik ke Piala Asia 2023. - UTUSAN ONLINE